Yamaha MT-09 Y-AMT 2025 Di Pasaran Jepun – Hyper Naked Dengan Transmisi Automatik!

Yamaha nampaknya benar-benar serius dalam membawa teknologi baharu ke dunia motosikal. Terbaru di pasaran domestik Jepun pada 30 Ogos 2024 yang lalu, mereka telah melancarkan Yamaha MT-09 Y-AMT 2025, model yang diasaskan daripada MT-09 ABS, tetapi dengan satu ciri yang cukup istimewa – sistem transmisi automatik elektronik yang dipanggil Y-AMT (Yamaha Automated Manual Transmission).

Dengan adanya Y-AMT, penunggang tidak lagi perlu menggunakan tuas klac atau pedal gear kaki seperti biasa. Semua kerja tukar gear diuruskan secara elektronik. Cuma yang menariknya, Yamaha tetap memberi dua pilihan cara tunggangan. Jika masih mahu rasa nikmat tukar gear sendiri, boleh pilih Mod MT (Manual) dengan menggunakan suis khas berbentuk seesaw di bahagian kiri hendal. Tekan “+” untuk naik gear, tekan “–” untuk turun gear, malah tuas “+” juga boleh ditarik atau ditolak untuk tukaran gear lebih pantas tanpa perlu melepaskan pendikit.

Bagi yang mahu tunggangan lebih mudah, boleh guna Mod AT (Automatik) di mana sistem akan menukar gear sepenuhnya secara automatik. Dalam mod automatik ini juga terdapat dua pilihan iaitu D (Normal) yang sesuai untuk kegunaan harian dengan penukaran gear yang lebih smooth, dan D+ (Sporty) yang lebih agresif, sesuai untuk menunggang di jalan berliku atau jika mahukan respon lebih bertenaga. Menariknya, ketika motosikal bergerak perlahan seperti di lampu isyarat, sistem ini juga akan menurunkan gear secara automatik supaya motosikal sentiasa cukup kuasa untuk bergerak semula.

Kalau ikutkan, MT-09 memang sudah terkenal sebagai sebuah Hyper Naked dengan enjin tiga silinder yang bertenaga. Tetapi dengan tambahan teknologi Y-AMT ini, Yamaha cuba membuka jalan baharu dengan menggabungkan keseronokan kawalan manual dan kemudahan automatik dalam satu motosikal. Maksudnya, kalau mahu ride santai pergi kerja boleh pilih automatik, dan kalau mahu rasa lebih sporty pada hujung minggu boleh tukar ke manual. Dua-dua gaya ada dalam satu model.

Ringkasan Yamaha MT-09 Y-AMT 2025: Berasaskan model MT-09 ABS, menggunakan sistem transmisi elektronik Y-AMT, ada dua mod tunggangan iaitu MT (manual) dan AT (automatik), mod automatik pula mempunyai D (Normal) dan D+ (Sporty), menggunakan suis gear seesaw di hendal kiri yang boleh ditarik atau ditolak untuk respon cepat, dilengkapi sistem automatik turunkan gear ketika kelajuan rendah, dan mula dijual di pasaran Jepun pada 30 September 2024.

Secara mudahnya, MT-09 Y-AMT memang sesuai untuk mereka yang mahukan dua dunia dalam satu pakej – keseronokan kawalan manual dan kesenangan automatik. Satu langkah berani daripada Yamaha, dan pastinya akan jadi perhatian peminat Hyper Naked di seluruh dunia.