Honda terus mengukuhkan reputasinya dalam segmen skuter premium dengan memperkenalkan Forza 125 versi 2026 (26YM), yang kini tampil lebih bergaya dan moden, sambil mengekalkan segala kelebihan prestasi dan teknologi yang menjadikannya pilihan utama di Eropah. Bagi tahun ini, dua warna baharu diperkenalkan iaitu Pearl Cool White dan Pearl Nightstar (Special Edition), manakala tiga lagi warna iaitu Mat Cynos Gray Metallic, Pearl Falcon Gray dan Mat Pearl Pacific Blue dibawakan daripada model tahun sebelumnya.
Reka bentuk Forza 125 mengekalkan gaya aerodinamik yang elegan dengan sentuhan premium, menyerupai model lebih besar seperti Forza 350 dan Forza 750. Bahagian hadapan tampil tajam dan dinamik, disertai sistem pencahayaan LED sepenuhnya, memberikan imej moden serta kejelasan maksimum di jalan raya. Untuk keselesaan penunggang, skrin hadapan boleh dilaras secara elektrik sehingga 180mm, membolehkan perlindungan angin dioptimumkan mengikut situasi tunggangan.
Dikuasakan oleh enjin 125cc eSP+ (enhanced Smart Power+) empat injap, Forza 125 menghasilkan kuasa maksimum 10.7 kW pada 8,750rpm dan tork 12.3 Nm pada 6,500rpm, menjadikannya antara model paling berkuasa dalam kelasnya. Enjin ini bukan sahaja bertenaga, tetapi juga sangat efisien dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 41.7 km/l, membolehkan jarak perjalanan hampir 500 km dengan tangki bahan api 11.7 liter. Seperti model Honda terkini yang lain, Forza 125 kini memenuhi piawaian Euro 5+, memastikan pelepasan emisi yang lebih bersih dan mesra alam.
Sistem casis menggunakan rangka tubular keluli yang kukuh dengan fork teleskopik 33mm di bahagian depan dan penyerap hentak berkembar di belakang yang boleh dilaras lima tahap pra-beban. Roda hadapan bersaiz 15 inci dan belakang 14 inci, dilengkapi brek cakera masing-masing berdiameter 256mm dan 240mm bersama sistem ABS dua saluran, memberikan tahap kawalan dan kestabilan optimum sama ada di bandar atau lebuh raya.
Bahagian teknologi turut diberi perhatian. Paparan TFT berwarna 5 inci menawarkan antara muka moden dan jelas, dengan keupayaan sambungan telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync. Ini membolehkan penunggang mengakses navigasi, muzik, mesej dan panggilan menggunakan kawalan pada hendal. Forza 125 juga dilengkapi Smart Key, port USB-C, dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk membantu mengekalkan cengkaman tayar belakang di atas permukaan jalan yang licin.
Dari segi kepraktisan, ruang bawah tempat duduknya cukup luas untuk memuatkan dua helmet muka penuh, selain satu ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan fairing. Berat keseluruhan model ini ialah 164 kg, dan walaupun sedikit berat untuk sebuah skuter 125cc, ia menambah kestabilan semasa tunggangan berkelajuan tinggi.
Bagi Forza 125 Special Edition dengan warna tunggal Pearl Nightstar, ianya turut hadir dengan rim berwarna gangsa dan grafik eksklusif, menyerlahkan imej mewah serta sporty. Sementara itu, warna Pearl Cool White memberikan daya tarikan segar yang menonjolkan elemen elegan serta premium.
Secara keseluruhan, Honda Forza 125 2026 bukan sekadar skuter kecil untuk kegunaan bandar, tetapi simbol keseimbangan antara gaya, prestasi dan teknologi. Ia memenuhi keperluan pengguna moden yang mahukan keselesaan harian dengan sentuhan kelas tinggi, menjadikannya salah satu model paling berprestij dalam segmen 125cc di pasaran Eropah hari ini.




















