Honda Forza 125 sememangnya bukan nama asing di Eropah. Sejak pertama kali dilancarkan, skuter kategori sport/GT ini terus jadi pilihan kerana gabungan gaya premium, prestasi lincah dan ciri-ciri praktikal yang jarang ditawarkan pesaing lain. Honda Motor Europe Ltd. pada bulan Oktober 2024 yang lepas telah mengumumkan kemaskini untuk versi tahun 2025 (25YM), dengan pelbagai pembaharuan yang semakin menegaskan statusnya sebagai skuter kecil kelas premium.
Dari segi rekaan, Forza 125 ini masih mengekalkan wajah sporty dengan lampu LED bergaya tajam yang diinspirasikan daripada Forza 750, model flagship dalam keluarga Forza. Bahagian hadapan yang kemas bersama fairing aerodinamik bukan sahaja nampak eksklusif, tetapi juga memberikan perlindungan angin yang baik. Lebih menarik, cermin penghadang angin boleh dilaras secara elektronik dengan julat 180mm – mudah untuk tukar suasana tunggangan sama ada di lebuh raya atau dalam bandar.
Naik taraf besar untuk 25YM ialah panel paparan baharu lima inci jenis TFT, lengkap dengan sambungan Honda RoadSync. Melalui sistem ini, penunggang boleh gunakan navigasi, jawab panggilan atau dengar muzik dengan lebih mudah, hanya dengan kawalan suis empat-arah yang kini berlampu pada handlebar kiri. Sambungan telefon pintar lebih mesra pengguna dan jelas kelihatan walaupun di bawah cahaya matahari terik.
Ruang simpanan juga diperkemaskan. Kotak bawah tempat duduk kini ada lampu dalaman, dan masih cukup luas untuk dua helmet full-face. Di bahagian depan pula ada ruang simpanan dengan soket USB-C, sesuai untuk pengecasan telefon ketika menunggang. Tidak ketinggalan, sistem Smart Key terus menjadi ciri standard, termasuk pilihan untuk mengawal kotak belakang pintar 45 liter.
Jantung Forza 125 ialah enjin eSP+ 125cc empat injap dengan kuasa 10.7kW dan tork 12.3Nm. Ia kini lebih bersih dengan talaan ECU baharu, rekaan dalaman muffler yang dikemas kini serta sensor SO2, sekali gus menepati piawaian Euro 5+. Prestasi masih lincah dengan pecutan 0–200m sekitar 13.3 saat, kelajuan maksima 108km/j dan penggunaan bahan api sekitar 41.7km/l. Dengan tangki 11.7 liter, jarak tunggangan hampir 500km boleh dicapai dengan sekali isian penuh – cukup praktikal untuk kegunaan harian.
Bahagian casis menggunakan rangka keluli tubular dengan fork teleskopik 33mm dan penyerap hentak berkembar di belakang yang boleh dilaras pra-beban. Berat keseluruhan 164kg menjadikan ia mudah dikawal, ditambah dengan tayar depan 15 inci dan belakang 14 inci yang memberi keselesaan serta kestabilan. Sistem brek cakera depan 256mm dan belakang 240mm lengkap dengan ABS dua saluran serta HSTC (Honda Selectable Torque Control) menambah keyakinan penunggang dalam pelbagai keadaan jalan.
Untuk 2025, Honda menawarkan pilihan warna baharu iaitu Mat Pearl Pacific Blue dan Mat Pearl Cool White, bersama Mat Cynos Gray Metallic dan Pearl Falcon Gray. Selain itu, versi Special Edition turut diperkenalkan dengan kemasan Mat Cynos Gray Metallic yang dipadankan rim berwarna gangsa serta grafik eksklusif – pilihan yang pasti memikat mereka yang mahu gaya lebih menonjol.
Bagi yang mahukan aksesori tambahan, Honda menyediakan pakej khusus seperti Style Pack yang merangkumi lantai kaki, tempat duduk yang lebih selesa dan penyandar belakang penumpang, atau Urban Pack dengan cengkaman pemanas serta buzzer keselamatan. Kotak belakang 35L dan 45L juga tersedia bersama beg dalaman untuk kemudahan lebih praktikal.
Secara keseluruhan, Honda Forza 125 versi 25YM ini bukan sekadar kosmetik baharu, tetapi datang dengan ciri teknologi terkini, lebih mesra pengguna, dan mengekalkan pakej prestasi serta keselesaan yang telah menjadikannya antara skuter paling popular di Eropah. Tidak hairanlah lebih 115,000 unit sudah terjual sejak pelancarannya, dan kemaskini terbaru ini pastinya akan terus menarik minat penunggang bandar mahupun pengembara jarak jauh.








































