Sejak pertama kali diperkenalkan, Yamaha TRACER 7 telah dikenali sebagai sport-tourer pertengahan yang berjaya menggabungkan prestasi sporty dan keselesaan jarak jauh dalam satu pakej yang seimbang. Ia menampilkan karakter enjin bertenaga, casis tangkas serta teknologi moden yang memberikan keyakinan dan keseronokan di setiap perjalanan.
Untuk tahun 2026, TRACER 7 kini dinaik taraf ke tahap baharu dengan kehadiran sistem transmisi separa automatik Y-AMT (Yamaha Automated Manual Transmission) – satu inovasi yang telah memikat pengguna TRACER 9, dan kini diperkenalkan kepada segmen pertengahan Yamaha. Sistem pintar ini memberikan dua pilihan tunggangan: mod manual menggunakan suis “see-saw” di jari, atau mod automatik penuh yang menukar gear secara lancar berdasarkan kelajuan dan keadaan jalan.
Gabungan teknologi Y-AMT bersama sistem Yamaha Ride Control (YRC) menjadikan pengalaman tunggangan lebih dinamik, mudah dan menyeronokkan, sama ada untuk tunggangan harian di bandar mahupun ketika menjelajah jauh. Ia memperkenalkan dimensi baharu dalam menikmati “Roads of Life” – falsafah yang mendasari setiap model TRACER.
Menjadi nadi utama kepada TRACER 7 ialah enjin CP2 689cc DOHC dua silinder sebaris, enjin yang terkenal dengan karakter tork kuat dan daya tahan tinggi. Ia menghasilkan 54 kW (73.4 hp) pada 8,750 rpm serta 68 Nm tork pada 6,500 rpm, menawarkan prestasi yang bertenaga, tetapi tetap cekap untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.
Casis TRACER 7 dibina menggunakan rangka keluli tegangan tinggi dengan lengan ayun yang panjang untuk kestabilan tinggi, manakala sistem suspensi menggunakan fork terbalik 41 mm boleh laras di depan dan monoshock monocross boleh laras pra-beban serta redaman di belakang. Prestasi brek pula disokong oleh dwi-cakera depan 298 mm dengan kaliper empat piston, serta cakera belakang 245 mm, memastikan kawalan cemerlang di pelbagai keadaan jalan.
Dari segi reka bentuk, TRACER 7 mengekalkan gaya agresif dan aerodinamik dengan lampu utama LED berkembar, serta lampu posisi beranimasi yang memberikan kesan visual moden. Rekaannya menonjolkan konsep “forward motion” — seolah-olah sentiasa bergerak walaupun dalam keadaan statik.
Bahagian kokpit menampilkan paparan TFT berwarna 5 inci, lengkap dengan sambungan Yamaha MyRide dan navigasi Garmin StreetCross. Ia bukan sekadar paparan maklumat, tetapi pusat kawalan interaktif yang menghubungkan penunggang dengan motosikal mereka. Tambahan pula, Cruise Control yang ditawarkan sebagai ciri standard, memberikan kemudahan tambahan ketika jelajah jauh.
Dari segi ergonomik, TRACER 7 terus mengekalkan reputasinya sebagai sport-tourer yang selesa. Tangki bahan api 18 liter membolehkan perjalanan lebih jauh, sementara tempat duduk boleh dilaras antara 830–850 mm memastikan kesesuaian untuk pelbagai ketinggian penunggang. Bar hendal lebar dan pelindung tangan pula meningkatkan kawalan serta perlindungan daripada angin ketika menunggang dalam jarak jauh.
Yamaha TRACER 7 Y-AMT 2026 termasuk varian standard dengan transmisi manual 6-kelajuan, akan ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik — Redline dan Midnight Black. Menurut Yamaha, tarikh penghantaran model tersebut ke rangkaian pengedar di Eropah serta harga jualan mungkin berbeza mengikut pasaran, dan pelanggan disaran menghubungi pengedar Yamaha tempatan untuk maklumat lanjut.
Dengan kemunculan sistem Y-AMT, TRACER 7 bukan sekadar menerima kemas kini kosmetik, tetapi mengalami transformasi penuh dalam dunia sport-touring pertengahan. Ia kini lebih pintar, lebih mudah dikawal, dan lebih menyeronokkan untuk ditunggang – menjadikan Yamaha TRACER 7 Y-AMT 2026 simbol sebenar keseimbangan antara kuasa, teknologi dan keselesaan.




































