Di pasaran Jepun, Yamaha kembali mencuri perhatian peminat naked bike apabila mengumumkan warna baharu untuk dua model popular mereka, MT-09 ABS dan MT-09 Y-AMT ABS. Kedua-dua model itu kini tampil dengan pilihan warna “Matte Light Gray” yang dipadankan dengan rim biru langit – satu kombinasi yang futuristik, bersih, dan menjadi identiti baharu untuk siri MT.
Bagi pasaran Jepun, MT-09 ABS mula dijual pada 22 April 2025 yang lalu dengan harga ¥1,254,000, manakala MT-09 Y-AMT ABS menyusul pada 22 Mei 2025 dengan harga ¥1,364,000. Pilihan warna sedia ada iaitu Blue dan Matte Dark Gray masih dikekalkan, menjadikan Matte Light Gray sebagai tambahan yang lebih segar dan berani.
MT-09 ABS sememangnya terkenal dengan enjin 3-silinder 888cc DOHC berasaskan konsep Crossplane, yang memberikan tork padat serta pengalaman tunggangan penuh tenaga. Ditambah dengan casis yang lincah, sistem ekzos dan intake yang direka khas, serta sokongan kawalan elektronik moden, model ini terus menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan naked bike sporty dengan teknologi semasa.
Sementara itu bagi model MT-09 Y-AMT ABS, ianya hadir tanpa klac lever dan tanpa pedal gear. Sistem Yamaha Automated Manual Transmission (Y-AMT) ini menawarkan dua pilihan mod tunggangan – MT Mode, untuk kawalan manual menggunakan suis seesaw pada handlebar kiri, dan AT Mode, di mana gear ditukar secara automatik dengan lancar. Hasilnya, penunggang boleh lebih fokus dalam menikmati perjalanan tanpa perlu risau tentang operasi klac dan pedal gear.
Dari segi kelengkapan, kedua-dua model hadir dengan paparan TFT 5 inci, sambungan telefon pintar untuk navigasi, serta pelbagai sistem bantuan elektronik yang memastikan tunggangan lebih selamat dan menyeronokkan.
Dengan kemunculan warna baharu Matte Light Gray ini, Yamaha bukan sekadar menambah variasi, tetapi turut memperkukuh imej MT-09 sebagai jentera moden yang berani, agresif, dan sesuai dengan jiwa penunggang urban mahupun mereka yang gemar memburu selekoh.
Soalnya sekarang, kalau diberi pilihan – anda akan pilih MT-09 ABS klasik dengan klac manual, atau lebih tertarik dengan MT-09 Y-AMT ABS automatik yang lebih praktikal tapi tetap sporty?
Galeri : Yamaha MT-09 ABS 2025 (Japan)
Galeri : Yamaha MT-09 Y-AMT ABS 2025 (Japan)