Honda kembali menggugat dunia dua roda dengan pelancaran Winner R 2025, model yang rasmi diperkenalkan di pasaran Vietnam pada bulan September 2025 yang lepas. Ianya merupakan versi yang benar-benar membawa nafas baharu kepada barisan kapcai sports Honda — rupa agresif, prestasi lebih tajam dan teknologi yang biasanya hanya ada pada jentera berkuasa besar.
Winner R bukan sekadar versi dikemas semula, tetapi hasil evolusi penuh daripada generasi pertama yang muncul pada 2016. Dari jauh pun sudah jelas, rekaan kali ini diinspirasikan oleh CBR1000RR-R, dengan bentuk badan lebih aerodinamik, depan tajam dan belakang yang ramping. Lampu utama LED yang digabungkan bersama isyarat belok memberi rupa moden dan padat, manakala teknologi pencahayaan “crystal light” meningkatkan tahap kecerahan dan jarak penglihatan. Lampu belakang jenis “floating” pula memberi kesan visual seakan superbike sebenar.
Kuasa jantungnya datang daripada enjin 149.2cc DOHC 4-injap, penyejukan cecair, bersama transmisi 6 kelajuan. Enjin ini menghasilkan 11.5 kW pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm pada 7,000 rpm, dengan penggunaan bahan api dianggarkan hanya 2.59 L bagi setiap 100 km. Honda menggunakan pelbagai teknologi geseran rendah seperti silinder eksentrik, piston bersalut molibdenum dan roller rocker arm bagi mengekalkan keseimbangan antara kuasa dan penjimatan bahan api. Setiap kali pendikit dipulas, Winner R memberikan tindak balas yang pantas dan terasa ringan.
Satu lagi tarikan besar ialah sistem Assist & Slipper Clutch, yang membantu penukaran gear lebih lancar serta mengelakkan tayar belakang terkunci semasa penurunan gear mendadak. Ciri ini biasanya ditemui pada motosikal berkuasa tinggi, dan kehadirannya pada Winner R membuktikan Honda mahu rider 150cc turut rasa kehebatan sebenar jentera sports. Untuk versi Sport dan Special Edition, sistem brek ABS pada roda depan turut disertakan — penting bagi kawalan optimum sewaktu membrek di jalan basah atau kelajuan tinggi.
Winner R juga tampil lebih selesa dan stabil dengan sistem imbangan berpaksi sejajar (coaxial balancer) yang mengurangkan getaran, manakala rim baharu dengan rekaan lebih kukuh memastikan kawalan lebih mantap. Panel meter digital negatif menampilkan paparan yang jelas dalam apa jua keadaan pencahayaan.
Dari segi praktikaliti, Honda melengkapkan semua varian dengan sistem kunci pintar yang boleh mencari dan membuka kunci motosikal dari jauh, lengkap dengan cincin LED biru yang menyala apabila diaktifkan. Untuk varian Sport dan Special Edition, turut disediakan port USB Type-A dengan penutup kalis air — sesuai bagi penunggang moden yang bergantung pada telefon sepanjang perjalanan. Selain itu, varian tersebut menggunakan rantai O-Ring yang lebih tahan lama dan memerlukan kurang penyelenggaraan.
Winner R mempunyai berat 124 kg, dengan dimensi 2013 x 725 x 1075 mm, jarak roda 1,277 mm, tinggi pelana 795 mm, dan tangki bahan api 4.5 liter. Saiz tayar hadapan ialah 90/80-17 manakala tayar belakang 120/70-17 — kombinasi yang memberi cengkaman baik ketika mengambil selekoh.
Untuk penampilan, varian Sport (Tricolor) tampil paling menyerlah dengan ilham daripada CBR1000RR-R. Varian Special pula menawarkan warna Biru-Hitam, Hitam, Kelabu-Hitam dan Merah-Hitam, manakala versi Standard hadir dengan Hitam-Perak dan Merah-Hitam. Semua kombinasi ini mengekalkan gaya agresif dan premium yang menjadi identiti utama Winner R.
Harga rasmi di Vietnam bermula daripada 46,160,000 VND bagi versi Standard hingga 50,560,000 VND untuk versi Sport. Semua model hadir dengan jaminan 3 tahun atau 30,000 km, bergantung yang mana tiba dahulu.
Secara keseluruhan, Winner R 2025 bukan sekadar kapcai baru dengan wajah cantik, tapi satu pakej lengkap yang menawarkan gaya, kuasa, dan teknologi yang seimbang. Ia membawakan pengalaman seakan menunggang sebuah superbike, tetapi dalam bentuk yang ringan dan mudah dikawal.
Kalau model ini masuk ke Malaysia nanti, tak mustahil ramai rider tempatan yang jatuh cinta — bukan sekadar kerana rekaannya yang garang, tapi kerana ia benar-benar membawa semangat “Racing” yang selama ini hanya dinikmati oleh jentera besar.
Galeri : Honda Winner R 2025
Galeri : Honda Winner R Sport Version 2025
Galeri : Honda Winner R Special Edition 2025
Galeri : Honda Winner R Standard Version 2025












































































