Honda Forza 350 2026 kini tampil dengan penampilan lebih bergaya melalui pilihan warna baharu, sekali gus mengekalkan reputasinya sebagai skuter GT premium yang menawarkan keseimbangan antara gaya, keselesaan dan teknologi moden. Walaupun tiada perubahan besar dari segi spesifikasi mekanikal berbanding versi 2025, kemas kini warna yang diperkenalkan cukup untuk memberikan nafas segar kepada model yang sudah sinonim dengan kualiti dan prestasi tinggi ini.
Untuk tahun 2026 (26YM), Forza 350 diperkenalkan dengan empat warna baharu iaitu Pearl Nightstar Black, Mat Cynos Gray Metallic, Pearl Cool White dan Mat Carnelian Red Metallic, di samping mengekalkan warna Pearl Falcon Gray yang sedia ada. Bagi warna Pearl Nightstar Black, ianya khusus untuk Forza 350 Special Edition, yang tampil eksklusif dengan grafik dan jahitan benang merah, menonjolkan gaya yang lebih sporty dan elegan.
Dari segi spesifikasi, model tahun 2026 mengekalkan segala kelebihan yang diperkenalkan pada versi sebelumnya. Ia masih dikuasakan oleh enjin 330cc eSP+ dengan prestasi sekitar 21.5 kW dan tork 31.5 Nm, serta mampu mencapai kelajuan sekitar 137 km/j. Tangki bahan api berkapasiti 11.7 liter memberikan jarak tunggangan yang panjang, menjadikannya sesuai untuk perjalanan harian mahupun pengembaraan jarak jauh.
Keselesaan dan kemudahan turut menjadi keutamaan dengan skrin pelindung angin boleh laras secara elektrik sejauh 180mm, membolehkan penunggang menyesuaikan kedudukan mengikut keadaan jalan dan cuaca. Paparan TFT 5 inci menawarkan antara muka moden dengan sambungan Honda RoadSync untuk integrasi telefon pintar yang membolehkan navigasi, panggilan dan muzik diakses dengan mudah. Ciri-ciri lain seperti sistem HSTC (Honda Selectable Torque Control), Smart Key, port USB-C, lampu LED penuh dan ruang simpanan luas yang mampu memuatkan dua helmet full-face turut dikekalkan.
Dari sudut pengendalian, Forza 350 2026 masih menggunakan rangka tubular steel dengan fork teleskopik 33mm di bahagian hadapan serta penyerap hentak belakang boleh laras tujuh tahap. Gabungan ini menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan. Sistem brek cakera depan 256mm dan belakang 240mm lengkap dengan ABS dua saluran memberikan tahap kawalan dan keselamatan yang tinggi.
Secara keseluruhan, Honda Forza 350 2026 meneruskan legasi kejayaannya sebagai skuter pertengahan premium yang bukan sahaja elegan tetapi juga praktikal dan berteknologi tinggi. Ia sesuai untuk mereka yang mahukan tunggangan harian yang selesa tanpa mengorbankan prestasi dan gaya. Dengan penambahan warna baharu serta edisi khas eksklusif, Forza 350 kekal sebagai pilihan terbaik dalam kelasnya.




















