Honda nampaknya masih belum mahu lepaskan formula ringkas tapi berkesan pada CMX500 Rebel. Model ini sejak 2017 dah jadi pilihan ramai rider muda yang nak cruiser tapi tak nak motor terlalu besar atau kompleks. Untuk tahun model 2025 (25YM), Rebel diberi beberapa kemas kini yang kecil tapi cukup memberi kesan pada tunggangan harian. Fokus utama Honda kali ini ialah keselesaan, keterbacaan paparan meter, serta tambahan warna baru untuk pastikan ia terus segar.
Rebel tetap dikuasakan enjin parallel twin 471cc, cecair sejuk, 8-valve dengan kuasa maksimum 34 kW @ 8,500 rpm dan tork puncak 43.3 Nm @ 6,000 rpm. Karakternya masih sama – linear, mudah dikawal, dengan bottom-end torque yang sedap untuk cruising santai. Gearbox enam kelajuan turut hadir dengan assist/slipper clutch untuk pertukaran gear lebih lancar tanpa risau roda belakang melompat masa downshift. Ekzos gaya “shotgun” 120 mm kekal beri bunyi berat yang sesuai dengan jiwa cruiser. Untuk 25YM, ECU telah ditala semula dengan tambahan sensor OBD2-2 supaya patuh piawaian EURO5+.
Dari segi ergonomik, Honda perhalusi lagi bahagian yang paling penting untuk rider. Material tempat duduk kini baru dengan foam lebih selesa, handlebar diberi posisi yang lebih natural, dan shock belakang pula menerima bump stop baru yang lebih mesra bila kena hentakan. Seat height kekal rendah pada 690 mm, cukup mesra untuk pelbagai ketinggian rider, manakala berat penuh sekitar 191 kg (192 kg untuk versi Special). Rangka tubular steel dengan gaya bobber tetap jadi tunjang, dipadankan dengan tayar depan 130/90-16 dan belakang 150/80-16. Suspensi depan masih gunakan fork 41 mm, dan di belakang twin Showa dengan lima tahap pra-beban serta nitrogen-charged untuk perjalanan yang lebih selesa. Sistem brek pula dilengkapi ABS dua saluran, cakera depan 296 mm dengan kaliper dua piston, dan cakera belakang 240 mm dengan kaliper satu piston.
Paparan meter negative LCD berdiameter 100 mm kini lebih jelas walaupun di bawah cahaya matahari, lengkap dengan gear position indicator serta bacaan penggunaan bahan api. Semua lampu sudah LED termasuk headlight bulat 175 mm, lampu belakang nipis dan signal kecil berdiameter 55 mm. Rekaan keseluruhan masih “simple dan raw” — ringkas tapi berkarakter, dengan banyak bahagian dihitamkan untuk aura lebih agresif. Bagi mereka yang gemar ubah suai, pelana belakang dan footpeg mudah ditanggalkan untuk tukar kepada gaya solo.
Warna pun ada tambahan baru. Untuk standard Rebel, pilihan ialah Mat Dim Gray Metallic (baru) dan Mat Gunpowder Black Metallic. Versi Special Edition atau dikenali sebagai ‘S’ pula ditawarkan dengan Candy Energy Orange (baru) dan Mat Gunpowder Black Metallic, siap dengan aksesori kilang seperti headlight cowl, fork cover dengan gaiter, seat diamond-stitch berwarna coklat serta rim bronze.
Honda juga sediakan pelbagai aksesori rasmi untuk mereka yang mahu lebih. Ada Style Pack dengan seat pilihan coklat atau hitam, tank pad dan headlight cowl; Comfort Pack dengan 12V socket, backrest, heated grips dan carrier belakang; serta Travel Pack yang lengkap dengan saddlebag kiri kanan. Pendek kata, Rebel memang direka jadi kanvas kosong untuk penunggang cipta identiti sendiri.
Kesimpulannya, CMX500 Rebel 25YM bukan motor yang mengalami perubahan secara besar-besaran, tapi setiap kemas kini kecil membuatkannya lebih praktikal, selesa dan kekal relevan. Untuk mereka yang mahukan cruiser kompak, rendah, dan mudah ditunggang, Rebel kekal jadi pilihan tepat – sama ada nak guna terus atau dijadikan projek custom. Untuk makluman, model ini diperkenalkan di pasaran Eropah pada bulan Oktober 2024 yang lepas.