Untuk pasaran Eropah, Honda CMX1100 Rebel 2025 yang hadir dengan pelbagai naik taraf menarik, telah diperkenalkan secara rasmi pada Oktober 2024 yang lepas. Kalau sebelum ini pilihan hanya ada Rebel standard dan Rebel Touring (CMX1100T), kini masuk pula ahli baharu – CMX1100SE Rebel, versi street custom yang terus keluar kilang dengan aksesori asli Honda.
Kesemua model masih menggunakan enjin 1,084cc parallel twin yang diambil daripada Africa Twin, tetapi untuk model 2025 nisbah mampatan ditingkatkan kepada 10.5:1 berbanding sebelum ini 10.1:1. Kuasa maksimum kekal pada 65kW (87hp) pada 7,250rpm dengan tork 98Nm pada 4,750rpm, tetapi respons enjin lebih padu di julat rendah dan pertengahan. Honda turut menala semula sistem kemasukan udara, camshaft serta flywheel untuk memberi rasa denyut yang lebih “hidup”, ditambah pula dengan bunyi ekzos yang lebih dalam di rpm rendah dan lebih garang bila diperah.
Sebagai sebuah cruiser moden, ia tidak ketinggalan dari segi teknologi. Sistem Throttle By Wire mengawal segalanya termasuk tiga mod tunggangan utama iaitu Standard, Rain dan Sport, ditambah dua mod User yang boleh disesuaikan. Honda Selectable Torque Control (HSTC) hadir dengan tiga tahap bersama kawalan wheelie, cruise control dipasang standard, manakala pilihan transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) kini lebih halus ketika bergerak perlahan atau membuat pusingan U.
Kedudukan tunggangan juga dikemaskini untuk 2025. Handlebar dinaikkan 12mm dan ditarik 28mm ke belakang, footpeg maju 50mm ke depan, dan kusyen tempat duduk lebih tebal 10mm dengan material baharu. Tinggi tempat duduk kekal rendah pada 710mm, menjadikannya mesra untuk pelbagai jenis penunggang. Berat pula berbeza ikut varian – CMX1100 Rebel manual 226kg, DCT 236kg, CMX1100T Rebel manual 240kg, DCT 250kg, manakala CMX1100SE Rebel 237kg.
Rekaan kekal dengan gaya bobber moden yang ringkas tetapi penuh karakter. Tangki 13.6 liter tanpa flange menaikkan imej “clean look”, manakala fender depan belakang diperbuat daripada keluli 1mm. Lampu utama bulat 175mm mengekalkan gaya klasik tetapi menggunakan LED sepenuhnya. Meter digital kini dinaik taraf kepada paparan TFT lima inci dengan paparan boleh ubah dan sambungan Honda RoadSync untuk telefon pintar. Ada juga port USB-C di sisi untuk kemudahan mengecas.
Suspensi depan menggunakan fork cartridge-style 43mm dengan kemasan titanium oxide gelap, manakala penyerap hentak belakang jenis piggyback reservoir. Kedua-duanya boleh laras pra-beban. Sistem brek pula memang serius – angkup radial empat piston dengan cakera apung 330mm di depan, manakala belakang cakera 256mm dengan angkup piston tunggal. Roda aloi lima jejari dipadankan tayar depan 130/70B18 dan belakang 180/65B16, memberi rupa mantap dan agresif.
Varian Touring masih kekal dengan fairing setengah badan dan pannier keras 35 liter, sesuai untuk perjalanan jauh. Bagi versi SE pula, ia tampil unik dengan bar-end mirrors, nose cowl warna sedondon, fork gaiters, mudguard pendek, seat jahitan diamond, dan pelindung radiator anodised. Ia adalah Rebel yang terus siap dengan gaya custom, tanpa perlu menunggu bengkel.
Honda juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk Comfort Pack dengan backrest, carrier dan heated grip, Travel Pack dengan saddlebag dan seat lebih selesa, serta Style Pack untuk gaya lebih ranggi. Semua aksesori ini boleh dipasang terus di pusat jualan Honda.
Untuk 2025, warna baharu turut diperkenalkan. CMX1100 Rebel datang dengan Pearl Hawkseye Blue, CMX1100T Rebel dengan Iridium Gray Metallic, manakala CMX1100SE Rebel pula ada dua pilihan iaitu Flare Orange Metallic dan Mat Ballistic Black Metallic.
Secara keseluruhannya, Honda CMX1100 Rebel 2025 bukan saja lebih selesa, lebih padu dan lebih moden, tetapi kini juga lebih bergaya dengan pilihan SE yang sudah siap custom dari kilang. Sama ada mahukan cruiser bobber ringkas, mesin touring untuk jalan jauh, atau terus gaya custom siap kilang, Rebel 1100 generasi 2025 memang ada jawapannya.