Yamaha baru-baru ini rasmi memperkenalkan model terbarunya, TRACER9 GT+ Y-AMT ABS 2025, khusus untuk pasaran Jepun. Model sport-tourer canggih ini diumumkan pada 15 April 2025 dan kemudiannya berada di pasaran bermula 28 Mei 2025. Harga jualannya ditetapkan sebanyak ¥1,980,000 termasuk cukai.
Model ini kekal dengan enjin tiga silinder 888cc yang menggunakan falsafah Crossplane Concept, mampu menghasilkan kuasa maksimum sekitar 120PS pada 10,000rpm dan tork puncak 93Nm pada 7,000rpm. Dengan angka ini sahaja sudah cukup membuktikan ia bukan sekadar motor touring biasa, tetapi juga mempunyai karakter sport yang sebenar.
Apa yang membuat TRACER9 GT+ 2025 benar-benar menonjol ialah teknologi baharu yang dibawa oleh Yamaha iaitu Y-AMT (Yamaha Automated Manual Transmission). Sistem ini membolehkan tunggangan tanpa perlu menggunakan klac manual, dengan dua pilihan mod iaitu MT (manual) untuk kawalan penuh dan AT (automatik) untuk keselesaan maksimum. Lebih menarik, apabila Adaptive Cruise Control (ACC) diaktifkan, sistem transmisi ini akan menukar gear secara automatik mengikut keadaan trafik – menjadikan TRACER9 GT+ motosikal sport-tourer pertama di dunia dengan teknologi seperti ini.
Dari sudut keselamatan, Yamaha membawakan pakej lengkap yang jarang dilihat pada motosikal. Selain ACC, terdapat juga Forward Collision Warning (FCW) yang memberi amaran jika ada risiko pelanggaran, Vehicle Hold Control (VHC) yang memudahkan ketika berhenti di laluan berbukit, serta Blind Spot Detection (BSD) dengan radar belakang untuk mengesan kenderaan di titik buta. Semua ciri ini membuatkan penunggang lebih yakin dan kurang penat ketika menunggang jauh.
Untuk keselesaan tambahan, Yamaha turut melengkapkan model ini dengan Smart Key & Keyless Locking System, di mana penunggang boleh menghidupkan enjin, mengunci stereng dan membuka kotak simpanan tanpa perlu kunci tradisional. Turut disertakan ialah TPMS (Tire Pressure Monitoring System) yang memaparkan tekanan tayar terus di meter semasa menunggang, menjadikan perjalanan lebih tenang.
Dari segi penampilan, TRACER9 GT+ 2025 hadir dengan dua pilihan warna yang sama-sama menarik. Black Metallic X tampil dengan kombinasi hitam dan perak bersama rim biru yang agresif, manakala Dark Purplish Blue Metallic U pula hadir dengan rim perak yang memberi imej lebih elegan tetapi masih sporty.
Secara keseluruhannya, Yamaha TRACER9 GT+ Y-AMT ABS 2025 adalah sebuah sport-tourer moden yang berjaya menggabungkan kuasa enjin 888cc, teknologi transmisi baharu Y-AMT, sistem keselamatan canggih berasaskan radar, serta keselesaan touring yang lengkap. Dengan harga jualan ¥1,980,000 di Jepun, model ini jelas membuktikan hala tuju Yamaha untuk membawa dunia sport-touring ke tahap yang lebih tinggi.








