Pasaran motosikal tempatan semakin rancak dengan kemunculan model supermoped baharu daripada SYM Malaysia — SYM VFE 185i 2025. Dilancarkan secara rasmi sempena acara Mforce Mid-Autumn Gala yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South pada 30 September 2025, model ini menandakan langkah baharu SYM dalam segmen kapcai berkapasiti tinggi, menggabungkan prestasi bertenaga dengan teknologi moden untuk penunggang masa kini.
SYM VFE 185i ditawarkan pada harga RM9,988.00 tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Tiga pilihan warna disediakan iaitu Blue, Green dan White, dan model ini kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara. Dari segi reka bentuk, model ini menonjol dengan gaya sporty dan garisan aerodinamik yang tajam, seiring dengan karekteristik prestasinya yang agresif.
Dikuasakan oleh enjin 183cc silinder tunggal, 4-lejang, SOHC dengan sistem penyejukan air, SYM VFE 185i mampu menghasilkan kuasa maksimum 14.7kW pada 9,000rpm serta tork puncak 17.46Nm pada 7,500rpm. Enjin ini menggunakan saiz piston dan lejang 63.5mm x 57.8mm dengan nisbah mampatan 11.1:1, dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI, sistem pencucuhan transistor penuh, serta penghidupan elektrik bagi memastikan tindak balas enjin yang pantas dan penjimatan bahan api yang efisien.
Model ini turut menggunakan transmisi enam kelajuan dengan pacuan akhir rantai serta klac jenis basah berbilang cakera, manakala sistem pendikitnya beroperasi secara mekanikal. Untuk ketahanan dan prestasi konsisten, sistem pelinciran jenis peredaran paksa dan percikan digunakan bagi memastikan enjin kekal dalam keadaan optimum.
SYM VFE 185i mempunyai panjang keseluruhan 2,000mm, lebar 740mm, tinggi 1,150mm, serta jarak roda 1,305mm. Kelegaan tanah ialah 135mm manakala ketinggian tempat duduk 800mm. Dengan berat keseluruhan hanya 135kg, motosikal ini menawarkan keseimbangan ideal antara kestabilan dan kawalan, sesuai untuk pelbagai jenis penunggang. Kapasiti tangki bahan api ialah 7 liter, memberikan jarak tunggangan yang memadai bagi perjalanan harian mahupun jarak jauh.
Bagi sistem suspensi, fork teleskopik di bahagian hadapan (80mm) dan monoshock di belakang (32mm) digunakan untuk memberikan keselesaan dan kestabilan maksimum di pelbagai permukaan jalan. Kuasa membrek pula dijana oleh cakera hadapan berdiameter 250mm dan cakera belakang 200mm, disertai sistem ABS dwi-saluran untuk keselamatan optimum. Tayar tanpa tiub 90/80-17 di hadapan dan 120/80-17 di belakang memastikan cengkaman kukuh dalam pelbagai keadaan tunggangan.
Selain prestasi, SYM turut melengkapkan VFE 185i dengan pelbagai ciri moden. Antara kelengkapan standard termasuk lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan jenis LED, meter digital berwarna LED, sistem kunci pintar, port pengecas USB Type-A QC 3.0, serta pencahayaan tambahan seperti lampu nombor plat. Model ini menggunakan bateri 12V6A bagi menyokong semua sistem elektroniknya.
Setiap pembelian SYM VFE 185i disertakan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km, bergantung pada mana yang tiba dahulu. Pelanggan juga boleh mendapatkan alat ganti tulen secara atas talian melalui Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Sejak 2008, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama yang digemari pengguna tempatan. Dengan lebih 300,000 unit motosikal dipasang untuk pasaran domestik, SYM Malaysia kekal komited dalam menghasilkan jentera yang berinovasi tinggi serta berprestasi mantap. Melalui model baharu VFE 185i, SYM dilihat bersedia untuk memperkukuhkan lagi penguasaan dalam segmen supermoped tempatan dan antarabangsa.








































