QJMOTOR Malaysia terus mengukuhkan kehadirannya dalam segmen motosikal sport ringan dengan pelancaran model terbaharu, QJMOTOR SRK250S 2025. Model ini diperkenalkan bersempena majlis perasmian Mforce SmartShop Tat Kang Motor Sdn. Bhd. di Johor, yang juga merupakan SmartShop ke-17 di Malaysia dan ke-7 di negeri tersebut. Menampilkan gaya naked yang moden dan agresif, SRK250S direka untuk penunggang muda yang mengutamakan gaya, prestasi dan praktikaliti dalam tunggangan harian.
Untuk pasaran Malaysia, QJMOTOR SRK250S ditawarkan pada harga RM9,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), dengan dua pilihan warna menarik iaitu Black dan Grey. Di bawah rangka sporty ini, SRK250S dikuasakan oleh enjin satu silinder, 4-lejang, 4-injap, 249cc dengan sistem penyejukan cecair. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 20.5kW pada 9,500rpm dan tork 22.5Nm pada 7,250rpm, digandingkan bersama transmisi 6-kelajuan serta klac basah berbilang plat. Sistem EFI (Electronic Fuel Injection) memastikan pembakaran bahan api lebih cekap dan responsif, manakala sistem penghidupan elektrik memberikan permulaan enjin yang pantas dan mudah.
Dari segi reka bentuk, SRK250S membawakan dimensi 2,010mm panjang, 810mm lebar dan 1,070mm tinggi, dengan jarak roda 1,370mm serta kelegaan tanah 135mm. Ketinggian tempat duduk hanya 780mm menjadikannya mesra untuk penunggang pelbagai ketinggian termasuk penunggang baharu. Berat kering 148kg pula memberikan keseimbangan dan kawalan yang ringan ketika menunggang di bandar mahupun lebuh raya.
Untuk sistem gantungan, model ini dilengkapi fork terbalik (upside-down) di bahagian hadapan dan monoshock teleskopik boleh laras di belakang yang dilengkapi gegelung dan redaman minyak. Bahagian brek menggunakan cakera depan 300mm dan cakera belakang 240mm, disokong oleh sistem ABS dua saluran untuk memastikan tahap keselamatan yang lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan.
QJMOTOR SRK250S juga menampilkan pelbagai ciri moden seperti paparan meter digital penuh, pencahayaan LED sepenuhnya, suis lampu hazard, port pengecas USB Type-A, tempat duduk dua tingkat serta rekaan ekzos bergaya. Menariknya, motosikal ini turut dilengkapi fungsi sambungan Bluetooth yang membolehkan penunggang menjawab dan menamatkan panggilan terus dari motosikal. Buat masa ini, fungsi tersebut menyokong peranti Android, dan kemas kini akan datang bakal memperluas sokongan kepada peranti iOS.
Setiap pembelian QJMOTOR SRK250S 2025 ini hadir dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan, disertai kemudahan pembelian alat ganti tulen secara atas talian melalui Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Dengan gabungan reka bentuk moden, enjin bertenaga serta ciri teknologi terkini, QJMOTOR SRK250S muncul sebagai pilihan menarik bagi mereka yang mencari motosikal naked sport yang seimbang antara prestasi dan gaya untuk kegunaan harian.


























