Modenas meneruskan kehadirannya dalam dunia sportbike berprestasi tinggi dengan memperkenalkan Ninja ZX-25R SE 2025, model yang kekal sebagai satu-satunya motosikal 250cc dengan enjin empat silinder sebaris di pasaran. Diperkenalkan pada tahun lepas, model ini kini tampil dengan dua warna baharu yang lebih segar dan garang, iaitu Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White serta Metallic Spark Black. Harga jualannya sebanyak RM34,900.00, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Model ini dibangunkan khas untuk penunggang yang menginginkan pengalaman sportbike tulen, dengan deruman enjin empat silinder yang mampu mencapai 17,000 rpm — satu karakter unik yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana sportbike 250cc lain. Di sebalik reka bentuk agresif ala Ninja ZX-10RR, ZX-25R SE membawa elemen moden seperti lampu LED penuh, paparan TFT berwarna dengan sambungan telefon pintar, serta sistem bantuan elektronik yang menjadikannya bukan sekadar laju, tetapi juga pintar dan responsif.
Dikuasakan oleh enjin 250cc empat silinder DOHC 16 injap penyejukan cecair, model ini menghasilkan kuasa maksimum 34.5 kW (46 PS) pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm. Ia dilengkapi dengan Electronic Throttle Valves (ETV), sistem Ram Air berinspirasi daripada Ninja H2, serta transmisi 6 kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch yang memastikan penukaran gear lancar dan mengurangkan hentakan sewaktu menuruni gear.
Untuk pengendalian, ZX-25R SE menggunakan rangka trellis keluli tegangan tinggi yang diinspirasikan daripada Ninja ZX-10RR, direka bagi mencapai keseimbangan sempurna antara ketegaran dan fleksibiliti. Bahagian hadapan dilengkapi fork terbalik 37mm SFF-BP Showa yang boleh dilaras pra-beban, manakala belakang menggunakan sistem Horizontal Back-Link gas-charged shock juga dengan pelarasan pra-beban, memberikan tunggangan mantap di jalan raya dan keyakinan tinggi di selekoh.
Ciri elektronik canggih seperti Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Mode Selection (Full / Low), dan Kawasaki Quick Shifter (KQS) dua hala turut menjadikan tunggangan lebih menyeronokkan. Penunggang boleh menukar gear naik atau turun tanpa menggunakan klac, sambil sistem kawalan cengkaman memastikan tayar sentiasa stabil di pelbagai keadaan jalan.
Untuk membrek, ZX-25R SE dibekalkan dengan cakera tunggal 310mm di hadapan dengan angkup monobloc radial-mount 4 piston, manakala cakera belakang berukuran 220mm. Gabungan ini memberikan daya henti yang kuat dan kawalan yang tepat, sesuai dengan prestasi enjin berkuasa tinggi. Berat keseluruhan model ini ialah 184 kg, dengan kapasiti tangki 15 liter dan ketinggian tempat duduk 785 mm, menjadikannya selesa untuk pelbagai jenis penunggang.
Sebagai pelengkap, versi SE turut hadir dengan penutup tempat duduk tunggal (single seat cover) dan tayar sport berprestasi tinggi, menyerlahkan imej sporty dan eksklusif. Dari setiap sudut, ZX-25R SE memancarkan aura premium dan prestasi, seolah-olah ianya sebuah mini superbike yang dicipta untuk memberi kepuasan maksimum kepada pencinta kelajuan.
Modenas Ninja ZX-25R SE 2025 bukan sekadar sebuah motosikal, tetapi simbol kejuruteraan halus dan semangat sebenar dunia Ninja. Dengan enjin empat silinder yang mengaum tinggi dan teknologi moden yang berpadu indah, model ini mengekalkan statusnya sebagai raja sportbike 250cc — sebuah jentera yang tidak hanya memecut, tetapi menghidupkan semula emosi setiap kali pendikit dipulas.








