Model skuter terbaharu Modenas ELIT 150S 2025 kini rasmi diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Pelancaran ini berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-30 Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah jenama nasional tersebut. Model ini dijual pada harga RM7,877.00, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, pelancaran ELIT 150S membawa makna besar kerana ia menghubungkan warisan 30 tahun syarikat dengan masa depan yang lebih dinamik. Beliau menegaskan bahawa model ini mencerminkan komitmen MODENAS untuk menghasilkan mobiliti yang bukan sahaja praktikal, tetapi juga bergaya dan berteknologi tinggi — sesuai dengan citarasa penunggang moden yang menghargai keselesaan serta nilai pemilikan.
Dari segi reka bentuk, ELIT 150S tampil dengan gaya moden dan berani, diserlahkan oleh lampu utama LED berkembar dengan lampu siang (DRL) serta kemasan premium yang menaikkan penampilannya. Sistem Smart Key memberikan kemudahan tanpa kunci, sementara ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 23 liter membolehkan barangan harian disimpan dengan mudah. Paparan meter LCD memastikan bacaan yang jelas, manakala sistem keselamatan diperkukuh dengan brek cakera depan dan belakang, penyerap hentak berkembar di belakang, serta fungsi lampu amaran kecemasan (hazard light).
Menjana kuasa untuk skuter ini ialah enjin 149cc, satu silinder, penyejukan cecair (liquid-cooled), SOHC, 4-lejang, 4-injap, yang mematuhi piawaian Euro 4. Ia menghasilkan 10.5kW pada 8,250rpm dan 13.5Nm tork pada 6,750rpm, memberikan prestasi yang lancar dengan kecekapan bahan api yang baik. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 480 kilometer dengan sekali isian penuh.
Dari segi ergonomik, tempat duduk setinggi 770mm direka untuk memberi keselesaan kepada penunggang dan pembonceng, sementara posisi tunggangan santai sesuai untuk kegunaan harian di bandar. Ciri-ciri praktikal disokong oleh berat keseluruhan 137kg dan jarak kelegaan tanah 160mm, memberikan keseimbangan antara kestabilan dan kawalan. Secara keseluruhan, ELIT 150S mempunyai panjang 1,970mm, lebar 740mm, tinggi 1,160mm, dan jarak roda 1,390mm, menjadikannya mudah dikawal dalam keadaan trafik padat.
Reka bentuk casis jenis backbone bersama suspensi hadapan teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang memberikan tunggangan yang selesa dan stabil. Kedua-dua roda bersaiz 13 inci menggunakan tayar 110/70 depan dan 130/70 belakang, digandingkan dengan sistem brek cakera di kedua-dua bahagian untuk keselamatan maksimum.
Modenas turut menekankan aspek ketahanan model ini, di mana ELIT 150S telah melalui beberapa ujian termasuk ujian jalan sejauh 20,000km, ujian dynometer, ujian banjir, dan ujian pancuran air (shower test) bagi memastikan kualiti terbaik sebelum sampai ke tangan pengguna. Setiap unit hadir dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000km, bergantung kepada yang mana terdahulu.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna bergaya — Riviera Blue dan Quantum Grey — Modenas ELIT 150S bukan sekadar sebuah skuter, tetapi simbol gaya hidup urban moden yang menyeimbangkan prestasi, reka bentuk dan kepraktisan harian.
Pelancaran model ini juga merupakan sebahagian daripada strategi MODENAS untuk memperkukuh barisan skuter premium serta memperluas kehadiran di pasaran antarabangsa termasuk Timur Tengah, China dan Filipina. Dalam masa yang sama, MODENAS turut komited untuk terus melabur dalam pembangunan teknologi lestari, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta program latihan TVET bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri motosikal negara.
Dengan gabungan gaya, prestasi, ketahanan dan teknologi moden, Modenas ELIT 150S 2025 membuktikan bahawa MODENAS terus berada di landasan tepat untuk memenuhi keperluan penunggang bandar masa kini.
















