Kawasaki Z900 SE 2025 kini tiba di pasaran Malaysia, menawarkan gabungan sempurna antara prestasi tinggi, teknologi moden dan gaya agresif yang menjadi identiti siri Z. Versi Special Edition ini hadir dengan peningkatan ketara berbanding model standard, menonjolkan komponen premium seperti sistem brek Brembo dan penyerap hentak belakang Öhlins yang meningkatkan kestabilan dan kawalan. Harga jualannya ditetapkan pada RM 60,100.00, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Reka bentuk Z900 SE mengekalkan konsep SUGOMI, dengan garis badan yang tajam dan agresif, memberi penampilan seolah-olah siap menyerang walaupun dalam keadaan statik. Dari sudut kejuruteraan, motosikal ini dipacu oleh enjin In-Line Four 948 cc DOHC 16-valve, yang mampu menjana kuasa maksimum 91.0 kW (122.5 PS) pada 9,500 rpm dan tork puncak 97.4 N·m pada 7,700 rpm. Kombinasi ini memberikan tindak balas enjin yang lancar, kuat dan bertenaga di setiap gear, sambil mengekalkan karekteristik halus yang sinonim dengan enjin empat silinder Kawasaki.
Rangka trellis keluli tegangan tinggi memberikan keseimbangan antara kekuatan dan kelenturan, membolehkan pengendalian yang tajam dan stabil. Di bahagian hadapan, fork songsang 41 mm boleh dilaras sepenuhnya untuk talaan sempurna mengikut gaya tunggangan. Sementara itu, unit belakang menggunakan penyerap hentak Öhlins S46 gas-charged dengan pelarasan rebound dan preload, yang menjadikan setiap selekoh terasa lebih mantap dan responsif. Sistem brek pula menggunakan Brembo M4.32 monobloc 4-piston radial dengan cakera hadapan 300 mm, memberikan cengkaman serta kawalan yang luar biasa setiap kali menekan tuil brek.
Z900 SE juga dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan elektronik termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), Cornering Management Function (KCMF), Quick Shifter (KQS), serta assist & slipper clutch yang memastikan penukaran gear lebih lancar dan kawalan optimum sewaktu menuruni gear tinggi. Tambahan pula, sistem ABS, pilihan mod kuasa, serta cruise control memberikan kemudahan maksimum untuk penunggang harian mahupun penggemar prestasi. Semua maklumat penting kini dipaparkan melalui paparan TFT berwarna 5 inci yang turut menyokong sambungan telefon pintar untuk fungsi pintar dan pemberitahuan masa nyata.
Dari segi dimensi, Z900 SE memiliki ketinggian tempat duduk 810 mm dan berat keseluruhan 214 kg, dengan tangki bahan api berkapasiti 17 liter — cukup untuk tunggangan jauh tanpa kerap mengisi. Reka bentuk ekornya yang padat serta lampu belakang gaya “floating” menambah penampilan moden dan agresif. Warna kombinasi Metallic Matte Graphite Gray / Ebony bersama kerangka Golden Blazed Green menyerlahkan identiti eksklusif varian SE ini.
Secara keseluruhannya, Kawasaki Z900 SE 2025 ialah sebuah motosikal yang menyeimbangkan kuasa, teknologi dan estetika. Ia bukan sekadar naik taraf kosmetik, tetapi sebuah peningkatan nyata dalam prestasi, pengendalian dan pengalaman tunggangan. Bagi peminat motosikal naked berkuasa tinggi yang mahukan sesuatu yang lebih istimewa, Z900 SE 2025 ialah simbol sebenar kejuruteraan “SUGOMI” yang terus memacu warisan Kawasaki ke hadapan.




















