Kawasaki memperkenalkan model terbaharu Z650 S ABS 2026, dengan slogan LEVEL UP, yang membawa peningkatan menyeluruh dari segi gaya, teknologi dan ergonomik berbanding generasi sebelumnya. Model naked ini mengekalkan identiti agresif “Sugomi”, namun kini tampil dengan penampilan yang lebih berotot dan karakter tunggangan yang lebih matang.
Kuasa Z650 S ABS dijana oleh enjin 649cc DOHC, 8-injap, sejukan cecair, dua silinder selari, yang terkenal dengan prestasi tork padu di julat rendah hingga pertengahan, antara 3,000 hingga 6,000 rpm. Ia menggunakan sistem suntikan bahan api dengan 36mm throttle bodies serta sub-throttle valves, dan penyuntik bahan api halus bersaiz 75 mikron untuk atomisasi bahan api yang lebih sempurna. Reka bentuk semi-dry sump membantu kawalan minyak lebih efisien, manakala crankshaft 180° bersama penimbang imbangan menghasilkan operasi enjin yang lancar. Transmisi jenis cassette-style memudahkan kerja penyelenggaraan, dan sistem assist & slipper clutch memberikan penukaran gear yang ringan serta mengurangkan kesan “wheel hop” ketika menurunkan gear dengan pantas.
Untuk sistem elektronik, Z650 S ABS dilengkapi Kawasaki Traction Control (KTRC) dengan dua mod pilihan serta fungsi “off” untuk penunggang yang mahukan kawalan penuh. Sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) pula ditawarkan sebagai aksesori pilihan untuk naik taraf prestasi penukaran gear tanpa klac. Panel meter kini menggunakan paparan TFT berwarna 4.3 inci, menawarkan dua susun atur paparan dan sambungan Bluetooth melalui aplikasi RIDEOLOGY THE APP. Melalui aplikasi ini, penunggang boleh mengakses data motosikal, notifikasi telefon, serta fungsi tambahan seperti arahan suara dan navigasi, yang memerlukan lesen berbayar bergantung kepada pasaran.
Reka bentuk luarannya menampilkan gaya Sugomi yang lebih terserlah dengan penutup sisi (shrouds) lebih lebar, rekaan tangki yang padat, serta kemasan badan yang halus dan kemas. Kedudukan tunggangan kini lebih sporty tetapi selesa hasil penggunaan handlebar yang diposisikan 40mm ke hadapan, 10mm lebih tinggi dan 30mm lebih lebar daripada model sebelumnya. Ketinggian tempat duduk juga dinaikkan kira-kira 20mm dan direka lebih lebar untuk keselesaan lebih baik. Perincian kecil turut diberi perhatian, seperti corak heksagon pada panel sisi, pendawaian tersembunyi, serta penutup tangki bahan api resin tanpa bolt, menjadikan model ini kelihatan lebih premium dan moden.
Dari segi kejuruteraan, casis menggunakan trellis frame keluli berketegangan tinggi dengan berat hanya sekitar 15kg (33 lbs), dipadankan bersama ayun belakang aluminium seberat 4.8kg (10.5 lbs). Rake 24.0° dan jarak roda yang pendek memberikan pengendalian yang tangkas. Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik 41mm, manakala belakang jenis Horizontal Back-link, menawarkan keseimbangan di antara kestabilan dan keselesaan. Untuk membrek, sistemnya terdiri daripada dua cakera 300mm di hadapan dengan angkup dua omboh dan cakera 220mm di belakang, dibantu oleh sistem ABS Continental. Tayar yang digunakan ialah Dunlop Sportmax Roadsport 2, dengan rim 5-jejari berbentuk bintang yang menyerlahkan gaya sporty.
Z650 S ABS 2026 juga boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori rasmi Kawasaki, termasuk sistem quick shifter (KQS), tempat duduk ERGO-FIT rendah (-20mm), semi-soft panniers, top case, port pengecas USB Type-C, tempat duduk gaya sport, serta pemegang belakang logam. Kesemua aksesori ini direka bagi menambah fungsi dan keselesaan, serta memberikan gaya peribadi kepada setiap pemilik.
Untuk pasaran Amerika Syarikat, Z650 S ABS 2026 ditawarkan dalam warna Metallic Matte Graphenesteel Gray / Metallic Flat Spark Black, dengan harga MSRP USD 7,699, dan kini sudah mula dijual. Bagi pasaran Malaysia, harga dan ketersediaannya masih belum diumumkan buat masa ini.
Dengan peningkatan menyeluruh dalam aspek gaya, prestasi dan teknologi, Kawasaki Z650 S ABS 2026 muncul sebagai versi yang lebih matang, agresif dan moden — menjadikan setiap tunggangan kini benar-benar LEVEL UP.





















