Honda kembali menggegarkan dunia naked bike dengan kehadiran CB1000 Hornet 2025, model yang menjadi kemuncak dalam keluarga Hornet moden. Selepas kejayaan CB750 Hornet yang muncul sebagai naked bike paling laris di Eropah pada tahun 2023, kini giliran versi 1000cc ini untuk membawa semula semangat streetfighter berprestasi tinggi ke jalan raya.
Nama Hornet bukan asing sejak akhir 90-an, bermula dengan CB600F Hornet yang menggunakan enjin CBR, kemudian CB900F Hornet pada awal 2000-an. Ia membawa identiti jelas: pantas, menyeronokkan dan mampu milik. CB1000 Hornet 2025 meneruskan tradisi ini dengan menawarkan pakej kuasa, teknologi dan gaya yang sukar ditandingi dalam segmen naked bike.
Menggunakan enjin 4-silinder DOHC 1000cc dari CBR1000RR Fireblade 2017, CB1000 Hornet menghasilkan 111.6kW pada 11,000rpm serta tork 104Nm pada 9,000rpm. Enjin ini ditala dengan tumpuan pada kuasa pertengahan rpm untuk kegunaan bandar, tetapi tetap memberikan letupan kuasa di julat tinggi. Transmisi 6 kelajuan hadir dengan nisbah gear 2 hingga 5 yang dioptimumkan untuk pecutan, manakala gear ke-6 sesuai untuk cruising. Klac assist/slipper membantu tunggangan lebih lancar ketika downshift agresif.
Throttle By Wire memberi akses kepada tiga mod tunggangan utama – Rain, Standard dan Sport – dengan kombinasi tetapan Power, Engine Brake, HSTC dan Wheelie Control. Dua mod tambahan (USER 1 dan USER 2) membolehkan penunggang menetapkan pilihan sendiri. Semua maklumat dipaparkan melalui skrin TFT 5-inci optically bonded, yang jelas walaupun dalam cahaya matahari terik, siap dengan sokongan Honda RoadSync untuk navigasi, muzik dan panggilan telefon.
Reka bentuk CB1000 Hornet memang menonjolkan DNA streetfighter. Lampu depan LED projector berkembar memberi pandangan tajam, tangki ikonik berbentuk “sayap Hornet” memberikan bahu lebar yang mengecil ke belakang, manakala subframe trellis minimalis mengekalkan siluet ramping. Rangka twin-spar keluli baharu meningkatkan kekakuan torsi sebanyak 70% berbanding CB1000R sebelumnya, sekali gus meningkatkan kestabilan dan agiliti. Berat keseluruhan motosikal ini ditetapkan pada 211kg dengan agihan berat 51.2% depan dan 48.8% belakang.
Suspensi menggunakan fork depan Showa 41mm SFF-BP USD yang boleh dilaras penuh, dipadankan dengan penyerap hentak belakang Showa Pro-Link. Rim aloi 5 jejari gaya Fireblade dipadankan dengan tayar 120/70-ZR17 depan dan 180/55-ZR17 belakang. Kuasa membrek datang daripada cakera terapung 310mm dengan angkup Nissin radial 4-piston di depan, serta cakera 240mm di belakang. ABS dua saluran diberikan sebagai standard, manakala sistem Emergency Stop Signal (ESS) mengaktifkan lampu hazard semasa membrek kecemasan.
Untuk penunggang yang mahukan lebih personalisasi, Honda menawarkan aksesori rasmi dalam bentuk pakej: Style Pack dengan kemasan premium termasuk tempat duduk Alcantara dan radiator grill; Sport Pack dengan quickshifter, under cowl dan seat cowl; serta Comfort Pack dengan heated grips, beg tangki dan beg belakang.
CB1000 Hornet 2025 hadir dalam tiga pilihan warna menarik: Grand Prix Red, Mat Iridium Gray Metallic dan Pearl Glare White. Dengan gabungan kuasa Fireblade, teknologi elektronik moden dan gaya streetfighter tulen, Hornet terbaru ini jelas menjadi pilihan bagi mereka yang mahu naik kelas dari naked bike kapasiti pertengahan.
Ringkasnya, Honda CB1000 Hornet 2025 ini ialah Hornet paling berbisa yang pernah dilahirkan.
























