Ducati kini memperkenalkan XDiavel V4, model Sport Cruiser serba baharu yang menggabungkan prestasi tinggi dengan gaya eksklusif. Model ini menjadi kesinambungan daripada XDiavel 1260 sebelum ini, namun kali ini tampil dengan pendekatan lebih moden, elegan dan penuh karakter. Gabungan DNA dragster dengan postur cruiser menjadikan XDiavel V4 sebuah motosikal yang bukan sahaja sedap dipandang, tetapi juga mampu memberi pengalaman tunggangan yang berbeza daripada mana-mana cruiser lain di pasaran.
Rekaan luarannya memang memukau, dengan garisan badan yang rendah dan ramping serta kemasan warna eksklusif Burning Red dan Black Lava. Lampu LED depan dan belakang dilengkapi ciri Welcome Effect serta lampu isyarat beranimasi yang kelihatan moden dan kemas. Roda belakang lebar 240/45 dengan lengan ayun aluminium sebelah memberi gaya agresif, seakan mengingatkan kepada muscle car. Untuk keselesaan, ketinggian tempat duduk hanya 770 mm, handlebar pula direka lebih ke belakang dan rendah, sementara suspensi belakang kini diberi tambahan 25 mm travel. Tempat duduk penumpang juga lebih besar dan lebih empuk, menjadikannya lebih mesra untuk tunggangan jarak jauh.
Bahagian paling istimewa sudah tentu enjin V4 Granturismo 1,158 cc yang menghasilkan 168 hp dan tork 126 Nm. Teknologi counter-rotating crankshaft seperti yang digunakan pada MotoGP menjadikan motosikal ini lebih lincah dan stabil. Lebih menarik, servis valve hanya perlu dibuat setiap 60,000 km, antara yang paling panjang dalam kategori ini. Selain kuasa yang mengagumkan, bunyi ekzosnya juga unik kerana sistem deaktivasi silinder belakang yang berfungsi ketika idle atau load rendah, menghasilkan karakter bunyi seakan enjin dua silinder sebelum bertukar semula ke V4 penuh apabila diperlukan.
Dari segi prestasi, XDiavel V4 mencatat berat hanya 229 kg (kering), iaitu 4–6 kg lebih ringan berbanding model lama. Hasilnya, motosikal ini mampu memecut 0–100 km/j dalam kurang 3 saat. Sistem brek hadapan menggunakan cakera 330 mm dengan kaliper Brembo Stylema® yang mampu membrek dengan sangat berkesan, setanding motosikal sport.
Sebagai sebuah cruiser moden, XDiavel V4 dibekalkan pakej elektronik lengkap. Empat Riding Mode – Sport, Touring, Urban dan Wet – serta tiga Power Mode boleh dipilih mengikut situasi. Ciri keselamatan lain termasuk ABS Cornering, Ducati Traction Control (Cornering), Wheelie Control, Ducati Power Launch, Quick Shift naik dan turun gear, serta Cruise Control. Paparan TFT berwarna 6.9 inci pula membolehkan sambungan penuh dengan telefon pintar melalui aplikasi Ducati Link untuk navigasi, muzik dan panggilan.
Ducati turut menawarkan pelbagai aksesori untuk menyesuaikan motosikal ini mengikut gaya hidup penunggang. Antara pilihan termasuk pannier semi-rigid 48 liter, sandaran penumpang, windshield pelbagai saiz, tempat duduk lebih empuk atau lebih rendah, komponen karbon, serta sistem ekzos titanium yang tampil lebih sporty.
XDiavel V4 ditawarkan dalam dua warna premium, Burning Red dan Black Lava, dengan kehadiran di bilik pameran Ducati telah pun bermula sejak Mei 2025.
Secara keseluruhan, Ducati XDiavel V4 2025 ini adalah sebuah model Sport Cruiser yang bukan sekadar tentang gaya, tetapi juga prestasi dan teknologi canggih. Ia memberi peluang kepada penunggang untuk merasai kuasa enjin V4 yang garang, dalam sebuah pakej cruiser yang selesa dan penuh bergaya. Untuk mereka yang mahu tampil berbeza di jalan raya, inilah model yang pasti mencuri perhatian.
























