Satu lagi model baharu kini menyertai arena dua roda tempatan — BENDA Napoleon Bob 250 2025, model cruiser klasik moden yang tampil dengan gaya tersendiri dan jiwa kebebasan yang kuat. Selepas pengenalan awal pada tahun lalu, model ini pada Julai 2025 telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia sempena pembukaan Mforce Best Shop Chuan Keat Motor Trading Sdn. Bhd. di Alma, Bukit Mertajam.
Dengan harga bermula RM20,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), Napoleon Bob 250 hadir sebagai sebuah motosikal yang bukan sahaja menawan dari segi gaya, tetapi turut lengkap dengan teknologi moden yang menjadikannya lebih selamat, praktikal dan menyeronokkan untuk ditunggang.
Aura klasik yang dibawa oleh model ini jelas terasa dari reka bentuknya yang mengimbau kenangan era cruiser sebenar, namun dengan suntikan elemen moden yang menjadikannya relevan di jalan raya masa kini. Empat pilihan warna disediakan untuk pasaran tempatan — Orange, Green, Black, dan Silver — semuanya menonjolkan karakter tersendiri yang memancarkan identiti premium.
Di sebalik gayanya yang retro, Napoleon Bob 250 digerakkan oleh enjin V-twin 249cc, 4-lejang 8-injap (SOHC) yang menyalurkan kuasa maksimum 19kW pada 9,000rpm dan tork 25Nm pada 5,500rpm. Enjin ini menggunakan sistem penyejukan cecair, memastikan suhu operasi kekal optimum, serta pancitan bahan api elektronik (EFI) untuk prestasi yang lebih bersih dan ekonomik.
Model ini turut menampilkan teknologi keselamatan moden seperti sistem brek ABS depan dan belakang, serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang membantu mengurangkan risiko tergelincir. Sistem ini mengawal putaran roda bagi memastikan kestabilan yang lebih baik, terutama ketika menunggang di permukaan jalan yang licin.
Ciri-ciri lain termasuk suspensi hadapan teleskopik boleh laras dan dwi penyerap hentakan di belakang, serta sistem transmisi 6-kelajuan dengan Slipper Clutch bagi penukaran gear yang lebih lancar dan selamat. Paparan meter LCD digital memberikan bacaan yang jelas, manakala sistem penghidup elektrik menambah kemudahan untuk penunggang harian.
Dari segi dimensi, Napoleon Bob 250 mempunyai berat 195kg, dengan panjang keseluruhan 2,320mm, lebar 810mm, dan tinggi 1,030mm. Ketinggian tempat duduk hanya 750mm, menjadikannya sesuai untuk pelbagai peringkat penunggang. Tayar hadapan bersaiz 130/80-18, manakala belakang 160/70-18, memberikan cengkaman mantap dan gaya proporsional yang seimbang. Tangki minyak 9.5 liter pula memastikan perjalanan jauh dapat dinikmati tanpa perlu kerap mengisi bahan api.
Seperti model lain di bawah naungan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., setiap pembelian Napoleon Bob 250 disertakan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan, selain kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian.
Kehadiran BENDA Napoleon Bob 250 bukan sekadar menambah pilihan dalam segmen cruiser bersesaran kecil, tetapi juga membawakan sentuhan gaya Eropah yang unik kepada penunggang Malaysia. Ia jelas disasarkan kepada mereka yang menghargai gaya klasik, prestasi moden, serta nilai yang berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
































