Aveta Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model terbaharu mereka — Aveta Marvel 150, sebuah motosikal bergaya retro moden dengan reka bentuk kompak dan karakter ‘fun to ride’. Ditawarkan pada harga RM7,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), Marvel 150 hadir sebagai model “mini scrambler” yang menyasarkan penunggang urban yang mahukan gaya, keselesaan, dan keseronokan tunggangan dalam satu pakej.
Dihasilkan berinspirasikan motosikal klasik bersaiz kecil, Marvel 150 menonjolkan imej “Malaysia’s Most Playful Ride”, sesuai untuk mereka yang ingin menunggang dengan santai tetapi tetap bergaya di jalanan.
Di bahagian hadapan, Marvel 150 dilengkapi lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu utama, isyarat membelok dan lampu brek, bagi pencahayaan lebih terang dan jelas sama ada siang atau malam. Fork depan jenis terbalik (USD) dan brek cakera di kedua-dua roda memberikan pengendalian lebih stabil serta kawalan yang mantap, sementara tayar lebar 12 inci menambah keyakinan sewaktu menempuh pelbagai permukaan jalan.
Dikuasakan oleh enjin 1-silinder 149 cc, 4-lejang, penyejukan udara dengan transmisi manual 5 kelajuan, Marvel 150 mampu menjana kuasa maksimum 10.6 hp pada 7,500 rpm dan tork 11.5 Nm pada 5,500 rpm. Ia turut dilengkapi sistem penghidup elektrik, dengan tangki bahan api bersaiz besar 8.2 liter — antara yang terbesar dalam kelasnya, membolehkan tunggangan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.
Untuk keselesaan, Marvel 150 hadir dengan tempat duduk empuk premium dan suspensi berkembar di belakang, menjadikannya sesuai untuk tunggangan jarak dekat mahupun perjalanan santai hujung minggu. Gaya retro moden ini turut diserlahkan dengan meter digital berwarna penuh, serta port pengecas USB Type-A bagi kemudahan mengecas peranti sewaktu menunggang.
Menariknya, Aveta menawarkan dua pilihan warna eksklusif iaitu Sonic Blue dan Mocha Blaze, masing-masing menampilkan padanan tempat duduk berwarna kontras yang menyerlahkan lagi imej klasik moden.
Dengan berat hanya 110 kg, ketinggian tempat duduk 760 mm, serta kelegaan tanah 140 mm, model ini sesuai untuk pelbagai peringkat penunggang termasuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan motosikal manual.
Aveta Marvel 150 turut hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, memberikan keyakinan tambahan kepada pemilik. Selain itu, model ini juga meraikan pencapaian Aveta dalam The Malaysia Book of Records sebagai jenama dengan “Most Motorcycle Handover in an Event 2025”, menandakan kepercayaan pengguna terhadap jenama tempatan ini semakin kukuh.
Dengan reka bentuk yang unik, ciri moden, serta harga yang amat kompetitif, Aveta Marvel 150 tampil sebagai motosikal gaya hidup paling menyeronokkan dalam segmen 150cc — kecil saiznya, tapi besar pada gaya dan personaliti.
























