Sejak hampir 25 tahun lalu, barisan Yamaha R-Series jadi kayu ukur kepada dunia Supersport. Rangka ringan, enjin berkuasa, rekaan agresif – semuanya datang dari DNA perlumbaan yang diwarisi terus daripada kejayaan Yamaha di MotoGP.
Untuk tahun 2025, Yamaha terus hidupkan semangat ini dengan wajah baharu buat R3. Model ini kembali segar dalam keluarga Supersport, bersama adik-beradik lain seperti R125, R7, R9, dan jentera litar penuh – R6 RACE, R6 GYTR, R1 RACE serta R1 GYTR.
Bagi penunggang muda yang baru nak melangkah masuk ke dunia dua roda, inilah tiket untuk rasa pengalaman sebenar “Supersport lifestyle”. R3 baharu bukan sekadar motor 300cc biasa – ia bawa DNA R-Series yang sama dengan R9 dan R1 GYTR, tetapi dalam pakej lebih mesra penunggang baru.
R3 baharu ini bukan sekadar facelift biasa, kerana ia kini tampil dengan muka lebih garang, menggunakan lampu kembar projektor bersama DRL LED, saluran udara tengah inspirasi daripada jentera MotoGP YZR-M1, serta tambahan winglet aerodinamik yang berfungsi untuk membantu aliran udara. Fairing berlapis baharu bukan sahaja menjadikannya lebih bergaya tetapi juga meningkatkan kecekapan penyejukan dan mengurangkan seretan. Rekaannya membuatkan R3 kelihatan pantas walaupun sekadar diparkir di tepi jalan.
Dari segi praktikaliti, Yamaha memastikan R3 ini mesra untuk penunggang baharu. Dengan berat penuh hanya 169 kg, motosikal ini mudah dikawal dan lebih selesa ketika berhenti. Tempat duduknya kini 6 mm lebih nipis, bahagian sisi 13 mm lebih ramping, manakala ketinggian tempat duduk hanya 780 mm, menjadikannya lebih mudah untuk kaki menjejak tanah dengan yakin.
Di bahagian enjin, Yamaha R3 masih dikuasakan unit 321cc dua silinder sebaris yang mampu menghasilkan 42 PS pada 10,750 rpm dengan tork maksimum 29.5 Nm pada 9,000 rpm. Kuasa ini cukup untuk memberikan sensasi Supersport yang sebenar, tetapi masih mudah dikawal oleh penunggang baharu. Enjin ini menggunakan teknologi seperti piston forged aluminium, conrod lebih pendek serta offset cylinder yang sama seperti R1 untuk mengurangkan gegaran, menjadikannya lebih efisien dan tahan lasak. Ia juga telah mematuhi piawaian EURO5+.
Salah satu penambahbaikan paling ketara ialah penggunaan Assist & Slipper Clutch (A&S). Sistem ini membantu menukar gear dengan lebih lancar, memberikan kawalan engine braking yang lebih baik, serta membuatkan tuil klac lebih ringan sehingga 17% berbanding klac biasa. Malah, kedudukan tuil juga dilaras 5 mm lebih dekat ke handlebar supaya lebih mesra kepada mereka yang mempunyai tangan kecil. Untuk yang mahu pengalaman lebih sporty, Yamaha turut menawarkan pilihan Quick Shifter (QSS).
Bagi memastikan kawalan terbaik, R3 dilengkapi fork terbalik 37 mm di depan yang memberikan kestabilan dan rasa yakin ketika membelok atau membrek. Chassis ringan dengan rekabentuk diamond frame pula menawarkan keseimbangan antara kekuatan dan kelenturan. Sistem brek menggunakan caliper jenis radial di depan serta cakera belakang yang cukup kuat untuk memberikan keyakinan penuh kepada penunggang.
Bahagian kokpit kini tampil lebih moden dengan panel LCD baharu yang memaparkan pelbagai informasi, serta sokongan sambungan telefon pintar melalui aplikasi Yamaha MyRide. Dengan aplikasi ini, penunggang boleh menyemak data tunggangan seperti penggunaan bahan api, tahap rpm, lokasi parkir terakhir, catatan perjalanan lengkap termasuk peta, purata kelajuan, cuaca dan banyak lagi. Tambahan pula, R3 kini dilengkapi port USB Type-A untuk mengecas telefon atau aksesori ketika menunggang.
Tangki bahan api slimline 14 liter dengan lekuk lutut yang sporty, handlebar gaya R1, tayar depan 110/70 dan belakang 140/70, serta rekaan ekor R-Series melengkapkan pakej Supersport sebenar.
Untuk 2025, Yamaha menawarkan dua pilihan warna menarik. Icon Blue tampil dengan kombinasi biru klasik Yamaha bersama grafik moden yang sporty, manakala Midnight Black pula hadir dengan gaya ringkas dan misteri tanpa banyak grafik, sesuai untuk mereka yang sukakan karakter lebih understated.
Yamaha R3 2025 telah pun masuk ke pasaran Eropah pada November 2024, dengan harga berbeza mengikut negara. Dengan wajah baharu, ciri moden dan teknologi yang diambil daripada abang-abang besar dalam keluarga R-Series, Yamaha R3 2025 kini lebih menarik daripada sebelumnya dan pastinya akan menjadi pilihan utama penunggang muda yang mahu merasai pengalaman sebenar dunia Supersport.




































